07 November 2009

Mampukah robot mengganti manusia?

MASIH ingatkah anda pada robot R2-D2 yang dipopularkan melalui filem Star Wars? Meskipun dikenali dengan bentuk tong sampah, kebolehannya bergerak ke sana ke mari dan bersuara seperti manusia sungguh memikat hati.

Di kalangan pencipta robot zaman ini, ramai yang menganggap figura itu sebagai model yang mencetus idea dan menjadi inspirasi dalam reka cipta robot mereka.

Kini dunia menyaksikan penghasilan robot yang semakin canggih. Daripada robot perusahaan yang hanya digunakan di dalam kilang, kejuruteraannya kini semakin menghampiri keupayaan dan bentuk fizikal sebenar seorang manusia.

Jika seabad lalu saiz robot yang mampu dibina menyamai saiz sebuah mesin jentolak, saiznya kini mengecil sehingga menyamai saiz sehelai rambut dan semestinya boleh dikawal dan diprogramkan.

Tidak mustahil dalam sedikit masa lagi robot akan menjadi peralatan peribadi seperti mana pemilikan komputer pada masa sekarang. Dan semestinya dengan keupayaan yang lebih pelbagai dalam membantu kehidupan kita.


ROBOT keluaran Kokoro yang mempunyai wajah hampir menyamai manusia.

Pameran Robot Antarabangsa yang berlangsung di Tokyo, Jepun, baru-baru ini menyaksikan sebahagian daripada kemajuan teknologi dan pencapaian terkini dalam industri robotik.

Pengeluar robot terkemuka Jepun, Kokoro misalnya tampil dengan robot perempuan yang boleh melakukan tugas seorang penyambut tetamu.

Dengan wajah yang begitu hampir menyamai manusia, robot humanoid itu mampu mengukir senyuman setiap kali mengesan kehadiran manusia dan memulakan interaksi dengan pelanggan.

Di Jepun, robot jenis itu dijadikan sebagai alat latihan dalam bidang pergigian di mana robot mampu memberi maklum balas terhadap sentuhan yang diterima.

Bukan itu sahaja, jika versi terbaru Asimo mampu berlari sehingga kelajuan enam kilometer sejam, kebolehan memasak pula ditunjukkan oleh robot Okonomiyaki yang mempunyai 15 sendi tangan dengan keupayaan mengambil pesanan daripada pelanggan.

Turut mencuri tumpuan adalah aksi robot Topio yang mempunyai pergerakan tangan cukup pantas untuk menewaskan manusia dalam permainan ping-pong. Topio yang dibangunkan oleh TOSY, firma robot Vietnam itu berdiri pada ketinggian 1.8 meter dengan berat 120 kilogram.

Selain itu, pelbagai kemahiran ditonjolkan dalam pameran empat hari itu termasuk keupayaan menari mengikut rentak, robot Toyota yang memainkan biola, robot dengan kawalan mengikut pergerakan manusia dan yang berfungsi di dalam air.

Guru robot

Di Jepun, kemampuan robot Saya ciptaan profesor Universiti Tokyo, Hiroshi Kobayashi telah membuktikan keupayaan komunikasi dengan reaksi emosi seperti gembira, terkejut, sedih dan marah.

Robot humanoid yang mengambil masa 15 tahun untuk dihasilkan itu tidak lama lagi bakal digunakan sebagai tenaga pengajar di sekolah rendah di Tokyo.

Melalui ujian pendidikan yang dilakukan, Saya membuktikan kebolehan memberi latihan daripada buku teks dan juga mencatat kehadiran pelajar.

Menjelang 2015, versi robot itu (yang dipertingkatkan) akan menemani setiap keluarga di Jepun. Sehingga kini kerajaan negara itu sudah melaburkan AS$35 juta (RM122 juta) untuk mencapai impian itu.

Sementara itu di Korea Selatan, kerajaannya memperuntukkan RM3.5 bilion untuk pembinaan dua taman tema robot sebagai usaha merancakkan industri robot di negara itu.

Apabila siap, Robot Land yang dijadualkan dibina tahun ini di Incheon, barat Seoul akan menjadi taman tema robot pertama di dunia.

Selepas kejayaan demi kejayaan yang dicapai, persoalan yang timbul kini mampukah manusia menghasilkan robot yang boleh belajar daripada pengalaman sendiri.

Dalam erti kata lain, fungsi sesebuah robot tidak akan lagi bergantung semata-mata kepada apa yang diprogramkan sebaliknya ia mampu 'dilatih'.

Alexander Stoytchev, penolong professor kejuruteraan komputer dan elektrik di Universiti Iowa berkata, penghasilan robot harus mengambil kira dan menggabungkan aspek kepintaran artifisial psikologi dan sains saraf untuk membangunkan robot yang lebih 'berdikari'.

"Robot yang benar-benar berguna mesti mempunyai kebolehan belajar daripada pengalaman interaksi dengan persekitaran fizikal dan sosial," ujar Stoytchev.

Menurut ramalan yang dibuat oleh sekumpulan saintis robot, otak robot akan menjadi satu realiti dalam masa 20 tahun dari sekarang.

Ancaman

Tetapi mampukah manusia bersaing dalam perkongsian tugas-tugas harian dan industri apabila penciptaan robot semakin menghampiri kesempurnaan?

Di Jepun misalnya, sebahagian daripada kilang pemasangan skrin televisyen dan proses ujiannya kini tidak lagi menggunakan tenaga manusia, sebaliknya diambil alih oleh mesin dan jentera yang mampu bekerja lebih efisien.

Dan bagaimana pula nasib manusia jika monopoli itu semakin berleluasa sehingga menimbulkan ancaman?

Dalam satu kejadian di Stockholm, Sweden dua tahun lalu, seorang pekerja nyaris maut akibat 'diserang' oleh robot milik syarikat tempat mangsa bekerja.

Kes yang disiasat oleh Pihak Berkuasa Persekitaran Kerja Sweden itu melaporkan mangsa patah empat tulang rusuk akibat dicengkam mesin yang disangka sudah dimatikan operasinya.

Perkembangan teknologi dalam kejuruteraan robot sedikit sebanyak telah memberi gambaran hubungan manusia dengan robot pada masa depan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Custom Search