02 Disember 2009

Anak bulan tentukan takwim

Sebahagian besar kita tidak ambil kisah dengan anak bulan sehinggalah tibanya masa untuk berpuasa Ramadan dan juga tarikh Hari Raya Aidilfitri. Malah, ramai yang hanya menunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia tentang tarikh tersebut melalui media massa.

Pendek kata, majoriti kita lebih suka bertaklid (mengikut) sahaja tanpa mengetahui dalil atau sebabnya.

Sebenarnya, asas penentuan awal bulan Islam adalah berpandu kepada al-Quran dan sunnah. Daripada asas tersebut, dapat dibuktikan bahawa peredaran bumi, bulan dan matahari berkait rapat dengan penentuan awal bulan Islam serta hubungkaitnya dengan ibadat seperti puasa dan haji.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Barang siapa di antara kamu yang melihat anak bulan pada bulan tersebut, maka hendaklah dia berpuasa. (al-Baqarah: 185) Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah (Aidilfitri) kamu apabila hilal tertutup ke atasmu, maka sempurnakanlah bilangan Syaaban 30.” (riwayat Syaikhan)

Hilal ialah fasa bulan yang menunjukkan sebahagian kecil daripada permukaan bulan yang bercahaya. Ia boleh dilihat selepas bulan melengkapkan satu pusingannya mengelilingi bumi.

Anak bulan (hilal) ditakrif sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam. Anak Bulan kelihatan seperti satu lengkok cahaya halus menyerupai bulan sabit. Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli berkata, mencerap hilal atau anak bulan itu sebenarnya dilakukan pada setiap 29 haribulan dalam kalendar Islam.Lewat 51 minit.


Penggunaan teleskop Made Lx200 memudahkan proses melihat anak bulan dan seterusnya menentukan takwim bulan Hijrah

Katanya, tiga tarikh penting yang wajib melihat anak bulan adalah pada 29 Syaaban (bagi tentukan Ramadan), 29 Ramadan (bagi tentukan Aidilfitri) dan 29 Zulkaedah (bagi menentukan 1 Zulhijjah). “Selepas kita dapat tarikh 1 Zulhijjah barulah boleh diisytiharkan bila tarikh Hari Raya Haji yang jatuh pada 10 Zulhijjah,” katanya dalam pertemuan dengan Mega di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Selepas ijtimak berlaku, kedudukan bulan akan berubah sedikit demi sedikit. Permukaan bulan yang bercahaya akan mula kelihatan dari bumi mengikut fasa-fasanya tersendiri. Perubahan ini mengakibatkan Bulan akan terbit lewat 51 minit daripada matahari. (Baharuddin Zainal, Ilmu Falak, m.s 56) Rizal berkata, kaedah penentuan awal bulan Islam yang digunapakai di Malaysia adalah melalui rukyah dan hisab. Katanya, negara menggunakan kaedah Imkanur-rukyah (kebolehnampakan) dalam menentukan bulan Ramadan dan Syawal sebagaimana ditetapkan pada 4 November 1991.

Menurut beliau, pada tahun 1995, kaedah ini diperluaskan terutama dalam menghasilkan takwim hijrah. “Anak bulan/hilal dikira boleh dilihat bila mana menepati syarat-syarat berikut iaitu pada tarikh 29 hijri ketika matahari terbenam; tinggi mesti lebih daripada 2 darjah dan jarak lengkok mesti melebihi 3 darjah. “Atau ketika bulan terbenam, umur hilal mesti melebihi lapan jam selepas ijtimak berlaku,” katanya.

Ijtimak adalah proses pemisah antara bulan lama dengan bulan baru. Ia berlaku apabila matahari, bulan dan bumi berada segarisan tetapi tidak sesatah. Ia berbeza dengan gerhana yang berada segarisan dan sesatah. Selepas berlaku ijtimak, bulan akan bergerak dan membentuk bulan baru yang dikenali ‘anak bulan.’

Setakat ini, Selangor mempunyai tiga kawasan yang diwartakan sebagai tempat melihat anak bulan iaitu Baitulhilal Bukit Malawati, Kuala Selangor, Baitulhilal Pulau Angsa, Kuala Selangor dan Baitulhilal Bukit Jugra, Kuala Langat.

Sebuah lagi Baitulhilal yang lengkap dengan semua peralatan sedang dalam pembinaan di Sungai Lang, Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor. Ia dijangka siap pada Februari 2010.

Mengenai perbezaan menyambut Aidiladha di Malaysia dengan di Mesir, Rizal berkata, antara sebabnya adalah melihat anak bulan tertakluk kepada matla’ yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan terbit bulan. Katanya, lagi Barat kedudukan sesuatu tempat itu seperti Mekah maka lebih tinggi potensi dapat melihat anak bulan. “Dari segi masa pun, kita lebih cepat lima jam dari Mekah. Kalau nak ikut Arab Saudi maknanya kita tidak boleh solat zuhur pukul 1 tengah hari sebab di Saudi belum masuk waktu zuhur lagi,” jelasnya.

Mengikut mantan Mufti Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut, dalil yang menolak penentuan Aidiladha disambut mengikut Arab Saudi (sehari selepas hari wukuf) adalah hadis Nabi SAW yang berikut. Daripada Ummu Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya.” (riwayat Muslim) Hadis ini menjelaskan penentuan Aidiladha itu khususnya bagi penduduk luar Arab Saudi dan negara yang tidak sama terbit matahari selepas Malaysia adalah berdasarkan kepada rukyah anak bulan Zulhijjah dan tidak ditentukan mengikut hari wukuf di Arafah.

Dalam sebuah hadis lagi, Nabi SAW bersabda: “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadan) dan Hari Raya Aidilfitri adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”. (riwayat at-Tirmizi) Kata Nooh, merujuk kepada petikan sabda Nabi SAW yang bermaksud “Hari Raya Korban adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Baginda SAW menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah). Hadis di atas menunjukkan tiada ada kaitan antara ibadat korban dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf). Ia adalah sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, Menurut Rizal berkata, Bahagian Falak yang dianggotai oleh 10 petugas bukan sahaja terlibat mencerap hilal tetapi juga menentukan arah kiblat.Katanya, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang masing-masing dianggotai oleh tiga petugas akan memeriksa arah kiblat masjid dan surau-surau di Selangor. “Kita akan membuat pemeriksaan ke atas mana-mana masjid dan surau yang memohon untuk semakan arah kiblat dalam tempoh dua minggu selepas permohonan bertulis diterima.

“Bagaimanapun, kita sudah melancarkan permohonan secara online. Setakat 10 November, kita sudah menerima 205 permohonan di seluruh Selangor,” jelasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Custom Search