25 Disember 2009

Peluang saksi fenomena gerhana bulan

Rakyat Malaysia akan berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan separa dari pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi pada 1 Januari ini.

Secara amnya, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama bulan melintasi bayang bumi.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa negara (Angkasa), fenomena gerhana tersebut akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada pukul 1.17 pagi waktu Malaysia.

Bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayang penumbra bumi yang kurang gelap.

Menurut kenyataan itu lagi, gerhana yang jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi ( U1 ) bermula pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum pada 3.24 pagi.

Bulan akan keluar dari bayang umbra Bumi ( U4 ) pada pukul 04.53 pagi.

Gerhana masih terus berlaku sehingga pukul 5.28 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap.

Dalam pada itu, sempena fenomena gerhana bulan separa ini, Angkasa dengan kerjasama Masjid Negara akan menganjurkan bersama program gerhana bulan separa di perkarangan luar Masjid Negara (berhampiran dengan tapak ekspo) pada 1 Januari ini bermula pukul 1 pagi hingga 6 pagi.

Orang awam dijemput hadir untuk menyaksikan fenomena ini menerusi beberapa buah teleskop yang disediakan dan ia adalah percuma.

Bagi yang tidak berkesempatan, anda berpeluang menyaksikan siaran langsung gerhana bulan separa di laman web www.angkasa.gov.my pada awal pagi 1 Januari 2010 pukul 1.17hingga 5.28 pagi.

16 Disember 2009

Sejarah haji di Malaysia


Catatan awal menyatakan Sultan Mansur Shah berhasrat ke Tanah Suci tetapi mangkat sebelum dapat menunaikannya

IBADAT haji di negara ini dipercayai bermula sejak kedatangan Islam ke gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 13. Namun, catatan sejarah yang jelas mengenai perkembangan haji di negara ini sukar diperoleh secara terperinci kerana tidak banyak maklumat mengenainya.

Dipercayai orang Melayu yang berkemampuan dan terbabit dalam aktiviti pelayaran ialah kelompok terawal menunaikan haji, namun tiada catatan atau apa-apa penunjuk aras mengenainya ditemui.

Pengamal perubatan Portugis, Tom Pires mencatatkan dua pemerintah Melaka ada menyatakan hasrat ke Makkah iaitu Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456-1477 Masihi atau 860-881 Hijrah dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488 Masihi/881-893 Hijrah). Namun, kedua-duanya tidak dapat meneruskan niat mereka kerana mangkat.

Dalam catatan itu, Tom Pires menjelaskan kedua-dua pemerintah sudah membuat persediaan, termasuk menyediakan emas yang berganda jumlahnya dan mempersiapkan kapal untuk pelayaran menunaikan haji.

Catatan Tom Pires bagaimanapun, tidak boleh dianggap sebagai rekod terawal berkaitan pelayaran masyarakat Melayu menunaikan haji ke Makkah kerana ibadah haji itu sendiri adalah satu kewajipan yang dilaksanakan umat Islam.



Catatan yang tidak kurang penting mengenai jemaah haji dari Kepulauan Melayu ialah perjalanan ilmuwan Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali pada 19 Masihi (13 Hijrah).

Tok Kenali berasal dari Kelantan melanjutkan pengajian agama beliau di Makkah ketika berusia 18 tahun. Dicatatkan beliau mengambil masa enam bulan untuk sampai ke Makkah. Tok Kenali kemudian mengambil keputusan menetap di Makkah bagi menuntut ilmu, di samping menunaikan umrah dan haji.

Beliau kemudian kembali ke Kelantan pada usia 40 tahun dan mengasaskan pusat pengajian Islam. Selain beliau, beberapa ilmuwan Islam di Kepulauan Melayu yang terkenal ialah Hamzah Fansuri yang belayar ke Makkah pada akhir abad ke 16 Masihi (10 Hijrah) dan Abdul Rauf Singkel menunaikan haji pada 1643 Masihi (1052 Hijrah).

Apabila tiba abad ke 19 dan 20 Masihi, muncul bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.

Antara catatan yang menarik dihasilkan Munsyi Abdullah seorang terpelajar berasal dari negara ini yang menceritakan dengan teliti pelayarannya ke Tanah Suci pada 1854 Masihi (1270 Hijrah) melalui Hikayat Pelayaran Abdullah.

Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.

Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.


Cendekiawan Malaya Harun Aminurashid bergambar di atas kapal ketika menunaikan haji pada 1960

Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.

Harun menceritakan perit getirnya sepanjang perjalanan dengan kapal diberi nama Anshun. Antara petikan berkenaan ialah: “susah menjadi penumpang di dalam bahagian tengah kapal...orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar... di sini tiada keseronokan atau kebebasan seperti kebiasaannya ketika di darat...kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik daripada menunaikan haji, sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik.”

Selain Harun, ada beberapa tulisan lain yang menceritakan keterujaan mereka menunaikan haji serta gambaran perjalanan ke Tanah Suci seperti Jaafar Jusoh Al Haj (Perihal Pemergian ke Mekah dan Madinah yang diterbitkan pada 1937 Masihi (1355 Hijrah) dan Haji Ismail Haji Ishak dalam bukunya bertajuk, Ke Mekah Mengikut Jalan Darat (1975 Masihi/ 1394 Hijrah) .

Selain catatan perjalanan, ada juga ditemui penulisan jemaah haji berkisar mengenai perasaan, pandangan dan pemikiran mereka terhadap apa yang berlaku sepanjang perjalanan yang dipersembahkan dengan gaya tersendiri, termasuk karya seni seperti puisi, lukisan dan poster.

Dicatatkan seorang jemaah haji yang tidak diketahui identitinya mengubah nazam menceritakan perjalanannya dari Kedah ke Makkah.

Dalam nazam tulisan jawi itu, penulis menyatakan tiga bulan dari Kedahlah dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang, Jikalau angin dari belakang sampai ke Jeddah (laut) yang tenang...Dua malam tuan sudah di Jeddah hendak berjalan pula ke Makkah disewalah unta mana yang mudah kecil sedikit daripada gajah...”

Di akhir nazam dinyatakan 120 rahmat ke atas Kaabah iaitu 60 bagi mereka yang mengerjakan tawaf, 40 bagi mereka yang bersembahyang dan 20 bagi yang melihatnya.

Sejak 1900 hingga 1969, jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.

Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.

Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.

Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh.

INFO: Kapal haji

# Mendam Berahi (abad ke-15)
# Subulus Salam (1854),
# Antirorchus (1936), Bellophon (1936), Cyclops (1936) dan Potesilaus (1936)
# Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Eurubates, Glaucus, Idomeneus (1940-an)
# Prometheus (1950-an),
# Malaysia Kita, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur (1970-an).

Peristiwa 1947

# 670 jemaah haji Malaya berangkat ke Makkah melalui Singapura dan 1,326 melalui Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 1,729 pulang ke Malaya, manakala 200 lagi terus tinggal di Makkah; 67 meninggal dunia iaitu 31 ketika dalam pelayaran, manakala 36 di Makkah.

# Sebelum Perang Dunia Kedua hingga negara mencapai kemerdekaan, Singapura dan Pulau Pinang menjadi dua pelabuhan penting bagi jemaah haji Malaya.

# Kebanyakan jemaah sebelum merdeka dibawa ke pelabuhan dengan lori dan cara itu sering dikritik orang ramai menerusi akhbar. Satu peristiwa pernah menimpa jemaah di Pelabuhan Klang pada 8 Julai 1962 iaitu tragedi tangga patah menyebabkan 20 cedera ketika menyambut ketibaan jemaah haji di atas kapal `Kuala Lumpur'.

# Menjelang awal 60-an, kesulitan itu semakin reda apabila pakar ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Aziz mengesyorkan supaya Tabung Haji diwujudkan. Dalam memorandumnya berjudul `Pilgrims Economy Improvement Plan' kepada kerajaan, Ungku Aziz mengesyorkan penubuhan sebuah perbadanan untuk mengurus dan mengendalikan urusan umat Islam negara ini yang hendak menunaikan haji dan umrah.

# Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 dan menguruskan pergi balik jemaah haji ke Makkah dengan licin dan teratur. Tradisi dan amalan menjual harta benda untuk ke Makkah hingga menyebabkan `kepapaan' selepas jemaah haji kembali ke tanah air, juga semakin pupus.

11 Disember 2009

Pembuat keris tradisi


Hulu Keris Ayam Teleng dan Ayam Sejuk (kiri)

ISTILAH tidak kenal maka tidak cinta cukup popular dalam kehidupan masyarakat Melayu tetapi dalam seni tradisi pembuatan keris warisan, ia sebenarnya berlawanan. Tidak cinta maka tidak kenal kerana pekerjaan membuat keris memerlukan individu yang cukup cintakan keris, barulah layak mewarisi tradisi itu.



Jika sudah jatuh cinta barulah timbul minat untuk mengetahui, mendalami apa saja maklumat berkaitan keris, teknik serta segala petua menghasilkan seni warisan berkualiti.

Hakikat itu diakui pewaris generasi keempat pembuat keris di Kuala Kangsar, Perak, Abdul Mazin Abdul Jamil, yang secara tradisinya sering diamanahkan membuat keris untuk pembesar istana dan keluarga diraja.

Bagi Abdul Mazin yang mewarisi kemahiran seni pembuatan besi daripada moyangnya yang dikenali sebagai Tukang Mamat, bukan mudah untuk membentuk, melatih mencari bakat baru bagi menyambung warisan bangsa kerana ia memerlukan individu yang cukup berminat dengan penuh komitmen.

Beliau yang belajar membuat keris daripada ayahnya, Allahyarham Abdul Jamil Pandak Lam Pandak Yunus sejak berusia 12 tahun, berkata proses awal ke arah itu ialah belajar mengenal besi yang mempunyai pelbagai jenis dengan memilih campuran yang paling sesuai.

“Ilmu paling asas ialah mesti bijak dan mengenal jenis besi yang digunakan. Besi membuat keris adalah campuran pelbagai jenis jenis yang terdiri daripada besi tawar, besi baja dan besi melela.

“Contohnya, paku ialah sejenis besi tawar, gergaji dan spring kenderaan ialah besi baja, manakala besi melela ialah gabungan kedua jenis besi berkenaan, misalnya besi tingkap rumah. Besi itu digabung dan dicantumkan sehingga mampat, barulah boleh ditempa untuk membentuk keris,” katanya.

Berdasarkan apa yang diwarisi secara turun temurun, petua memilih besi mengikut tiga jenis asas pilihan tadi juga mesti berdasarkan asas tujuh jenis besi bermula dengan huruf ‘P’ iaitu paku, payung, pahat, puting, pagar, pisau dan penyodok.

Besi padat tujuh lapisan yang digabungkan itu akan ditempa dan dibentuk mengikut tempahan serta jenis keris yang dikehendaki.

Secara tradisinya pembuat keris akan menggunakan kaedah tradisional menggunakan pengepam tangan atau kaki bagi membekalkan oksigen ke dalam dapur. Perubahan teknologi itu nyata memudahkan kerja dan menjimatkan tenaga.

Namun, proses mengetuk dan membentuk masih secara tradisional menggunakan pengetuk beralaskan batang besi dan ada yang menggunakan rel landasan kereta api.

“Keris yang sudah siap ditempa sebenarnya akan menghasilkan corak tersendiri, ia asli dan semula jadi hasil gabungan tujuh lapis besi. Itu yang membezakan corak setiap keris. Corak itu akan kekal walaupun dibakar semula.

“Sebab itulah, keris yang sudah siap akan diperam selama seminggu menggunakan belerang kuning bercampur garam halus dan air cuka untuk mengekal dan menimbulkan imej corak,” katanya.

Peringkat seterusnya ialah kemahiran mengukir kayu untuk membuat sarung, ulu dan semuanya memerlukan penelitian. Kebiasaannya sepasang sarung keris akan dihasil menggunakan empat jenis kayu berbeza bermula di ulu, sampir, batang dan kasut sarung keris.

Menyingkap kenangan manis sebagai pembuat keris sepenuh masa, Abdul Mazin cukup berbangga kerana hasil tangannya pernah dijadikan keris milik pergerakan Pemuda Umno yang dinamakan Panca Warisan yang melambangkan keutuhan, keberanian dan kekuatan orang Melayu.

Kemahiran seninya juga perlu diiktiraf apabila ramai pelajar luar negara dari England dan Jepun datang belajar di bengkelnya bahkan, beliau pernah menghasilkan keris khas sempena Jubli Emas Sultan Kedah pada 2003.

Info

Corak pada batang besi

# Sisik ikan

# Beras tumpah

# Pucuk rebung

# Tapak gajah

# Isi petai

06 Disember 2009

Perodua Alza

Menjadi MPV pertama daripada Perodua, mampukah Alza meneruskan kejayaan model Myvi dan Viva?


MPV Perodua


Enjin bersesaran 1.5 liter ini juga agak menjimatkan.

Apabila khabar angin tentang Perodua MPV D46T bertiup kencang, gambar spyshot mula kelihatan di laman web. Perodua secara rasminya telah melancarkan Alza, model MPV 'tempatan' kedua selepas Proton Exora.

Ia dijual pada harga bermula RM56,000 hingga RM64,000 untuk varian standard dan premium. Sama dengan strategi sebelum ini, Perodua turut menawarkan varian advance pada harga RM67,000 hingga RM70,000. Ia merupakan versi pakej penuh bersama badan, sistem navigasi GPS dengan kamera undur, tinted dan tempat duduk kulit.

Terlalu banyak pilihan

Perodua memang bijak mencari peluang. Kini ia menguasai pasaran kenderaan penumpang menerusi hanya dua model, Myvi dan Viva. Mungkin pelik, tetapi itulah ajaibnya tentang Perodua, mereka berjaya mengisi kekosongan dengan hanya dua model yang menguasai senarai jualan setiap bulan.

Jika mengambil kira persaingan terus Perodua dengan Proton, jualan Myvi dan Viva setiap bulan sentiasa mendahului angka jualan gabungan model Saga, Persona, Exora, Waja dan Satria Neo.


Tuil gear yang diletakkan pada konsol tengah membuatkan papan pemuka Alza nampak kemas.

Terlalu banyak pilihan kepada pengguna juga tidak bagus. Perodua belajar tentang pasaran dengan berhati-hati. Kalau kemampuan yang menjadi ukuran, mereka mampu memperkenalkan dua atau tiga model setiap tahun. Namun realitinya, banyak jenis kereta dalam satu segmen, tidak bagus untuk jumlah pembeli yang terhad.

Lihat sahaja Proton, mereka ada model yang saling bersaing sesama sendiri. Strategi pasarannya membingungkan, malah pelan mereka kadangkala bercanggah dengan kehendak pasaran.

Mereka ada Saga dan Savvy untuk pembeli kereta kecil. Model Persona, Gen2 dan Waja untuk pembeli kereta sedan. Segmentasi Proton memang tunggang-langgang. Pada satu ketika, mereka memperkenalkan Waja sebagai membuktikan mereka pembuat kereta yang bebas. Kemudian, muncul pula Gen2 dan tidak lama selepas itu Persona.

Apabila jualan Gen2 jatuh, mereka ubahsuai Gen2 sebagai model sporty. Bukankah sporty itu pasaran Satria Neo? Kemudian Savvy dengan reka bentuk yang saya percaya tidak ramai rakyat Malaysia boleh menerima rekaan keterlaluan sebegitu.


Ruang penyimpanan barang untuk kegunaan semua.

Lebih memeranjatkan, mereka sekali lagi bergabung dengan Renault. Sedangkan Tiara sudah membuktikan prestasinya. Tidak lama kemudian, Saga dilancarkan.

Pasaran kerap kali bergantung kepada permintaan. Dalam hal ini kita perlu mengakui bahawa Perodua sentiasa berjaya mencari formula yang terbaik. Alza dikatakan memenuhi pasaran semasa buat pembeli yang mahukan sebuah MPV kecil. Ia boleh bersifat MPV ataupun sebuah kereta (station wagon lagi sesuai rasanya).

Kajian mendalam

Mereka telah membuat kajian bahawa hanya sebilangan kecil sahaja yang menggunakan tempat duduk barisan ketiga dalam MPV. Kehendak pasaran juga mahukan sebuah MPV yang sporty yang mampu mereka miliki.

Mampu dimiliki? Ia mungkin Avanza, sporty? Sudah tentu Alza. Kuasa? Tiada MPV yang berkuasa dalam kelas ini, baik Avanza, Exora atau Grand Livina. Jika anda mahukan kuasa, beli sahaja Swift Sport, MPV bukan dicipta untuk menjadi juara di lampu isyarat.


Tempat duduk pemandu yang boleh dilaras ketinggiannya.

Kajian pasaran dilakukan dengan serius. Perodua benar-benar bertuah kerana telah memperoleh pengalaman luas Toyota dalam mengenali pasaran. Kajian yang dilakukan di Malaysia, jelas bahawa profil keluarga Malaysia telah berubah sejak sedekad lalu. Purata bilangan ahli keluarga berkurangan daripada enam kepada empat orang.

Malah golongan itu melihat MPV tidak hanya perlu ada ruang luas, mereka lebih mementingkan faktor sporty, penjimatan bahan api dan harga yang mampu dimiliki. Ringkasnya, mereka mahukan sesuatu seperti Toyota Wish dan Honda Stream pada harga yang mampu dibeli.

Alza penuhi citarasa

Perodua menyasarkan jualan sebanyak 3,500 hingga 4,000 unit Alza sebulan. Mereka juga optimis bahawa pasaran MPV akan berkembang mencecah 30 peratus pada tahun hadapan.

Angka tersebut mungkin nampak tidak realistik. Namun sejarah telah membuktikan bahawa ketika awal pengenalan Avanza, TIV (Total Industry Volume) untuk MPV pernah mencecah 21 peratus. Angka itu bersandarkan kepada kajian dalaman yang telah mereka lakukan. Jika Avanza yang dibina berasaskan kerangka trak (ladder frame) itu laris, sudah tentu badan monocoque Alza akan lakukannya dengan lebih baik.


Ruang kabin yang cukup selesa untuk membawa seluruh ahli keluarga.

Ketika Myvi diperkenalkan juga ramai yang tidak mempedulikannya, sehinggalah ia menguasai pasaran hampir setiap bulan dari hari pertama ia dilancarkan. Saya pernah meramal model itu bakal meletup di pasaran. Asasnya ketika itu, jika orang boleh membeli Hyundai Getz, Chevrolet Aveo dan Suzuki Swift sudah tentu Myvi mempunyai banyak kelebihan dari segi harga. Ia paling murah, sesuatu yang sukar anda ketepikan.

Kalau anda biasa meninjau di laman web dan blog automotif tempatan, kereta seperti Viva menerima pelbagai kritikan dan tohmahan. Tetapi hakikat yang tidak dapat diubah, kereta itu nombor dua larisnya di Malaysia.

Ia ada pakej sebuah kereta pemanduan bandar yang diperlukan oleh anak muda yang baru mula bekerja, suri rumah dan pelajar kolej. Realitinya, segmentasi pasarannya tepat, harganya munasabah untuk kereta yang berstatus tempatan.

Perodua diyakini kualiti binaannya. Kereta Perodua jarang sekali menimbulkan masalah kepada pemiliknya. Alat gantinya murah dan mudah didapati, teknologinya asas.



Walaupun pengendaliannya menyakitkan hati, tetapi berapa ramai pembeli yang kisah? Pembeli pentingkan sesuatu yang bernilai untuk dibayar. Mereka tidak kisah pun tentang rating keselamatan yang tinggi atau pengendalian terlalu bagus. Apa lebih penting, kereta yang ekonomikal dan mempunyai nilai jualan balik yang tinggi.

Alza memenuhi citarasa keluarga kecil dan anak muda yang ingin bergaya. Bukan saya yang kata, tetapi ia berdasarkan data daripada kajian pasaran.



Alza sebenarnya tidak sesuai digelar MPV. Perodua sendiri menyedari hakikat itu dengan meletakkan tagline 'Car One Moment, MPV The Next'. Kenderaan itu adalah transisi antara sebuah kereta, station wagon kepada MPV.

Jika anda mengharapkan tujuh dewasa dengan bagasi dan keselesaan, Alza bukan pilihan yang tepat. Namun jika anda mahukan kereta yang boleh mengangkut perkakasan dari Ikea, membawa kawan atau keluarga bersantai di hujung minggu, Alza mungkin calon terbaik.

03 Disember 2009

Persoalan arah kiblat

Arah kiblat adalah di mana umat Islam menghadapkan diri mereka apabila menunaikan solat dan perkara-perkara yang disunat menghadap ke arahnya.

Ahli falak menakrifkan ia adalah arah ke kaabah yang terdekat di atas blob bumi. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah wajahmu ke aras Masjidil Haram...(al-Baqarah: 149)

Disebabkan kedudukan Malaysia yang berada jauh dari Mekah, maka ulama berijtihad dalam menentukan arah kiblat. Sebabnya, ulama sepakat bahawa menghadap ke kiblat adalah syarat sah solat.

Bagi yang mengambil sikap tidak apa jika arah kiblat lari satu atau dua darjah, ketahuilah satu darjah bermakna kita lari 126 kilometer dari kaabah.

Bagi Mazhab Syafie ada tiga kaedah berhubung syarat sah menghadap kiblat:

1. Kiblat yakin - bagi orang yang berada di Masjidil Haram, wajib menghadapnya dengan yakin (melihat) atau menyentuhnya (bagi yang cacat penglihatan) atau dengan cara lain yang boleh dipastikan asal ada keyakinan.

2. Kiblat zonni - bagi yang berada jauh dari Masjidil Haram hendaklah menghadap ke arah masjid secara zonni iaitu melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Mekah.

3. Ijtihad - Bagi seseorang yang berada di luar Tanah Suci Mekah, hendaklah menghadap ke arah Tanah Suci dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau kaabah. Ini bergantung kepada ijtihadnya untuk melaksanakan tuntutan syarak.


Kaedah menentukan kiblat

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi menentukan arah kiblat sama ada cara moden atau tradisional. Antaranya:

Berpandukan buruj orion

Buruj ini dikenali sebagai buruj kiblat atau bintang kiblat. Ia mempunyai tiga bintang berderetan iaitu Mityaka, An-Nilam dan an-Nitak.

Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan ketiga-tiga bintang ini ke arah barat. Namun, buruj ini boleh kelihatan pada bulan tertentu sahaja iaitu:

a) Julai- Pada waktu subuh.

b) Disember- Kelihatan tinggi di langit pada waktu tengah malam.

c) Mac- Berada di tengah-tengah langir pada waktu maghrib.

Berpandukan bintang qutbi atau kutub

Bintang qutbi menunjukkan arah utara benar. Bintang ini terletak dalam buruj yang dinamakan 'Biduk Kecil' dan berada di hujung tangkai buruj.

Ia berada di langit Malaysia waktu tengah malam pada Julai hingga Disember setiap tahun. Arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan perbezaan sudut sebanyak 68 darjah (bagi Malaysia) ke kiri dari bintang qutbi.

Berpandukan matahari terbenam

Kaedah ini semata-mata adalah tidak tepat. Sebabnya, matahari sentiasa berubah iaitu enam bulan ke utara dan enam bulan ke selatan.

Maka pengetahuan akan perbezaan azimut matahari terbenam dengan azimut kiblat amat penting bagi menentukan arah kiblat yang betul.

Matahari istiwa' di atas kaabah

Di Malaysia peristiwa ini akan berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei pukul 5.16 petang dan 16 Julai pukul 5.28 petang.

Apabila peristiwa ini berlaku, bayang-bayang sesuatu objek akan menunjukkan arah ke kaabah.

Perlu diingat, memandangkan fenomena ini berlaku waktu petang, maka bayang objek akan jatuh ke arah timur. Oleh itu, arah yang menunjukkan kiblat adalah bayang yang menghadap ke arah objek itu.

Tongkat istiwa'

Kaedah ini adalah kaedah tradisional bagi mendapatkan arah utara dan selatan pada sesuatu tempat. Ia bukan sahaja mudah tetapi tetapi. Bagaimanapun, ia perlu mengikut enam cara yang ditetapkan.

Penggunaan rubu' mujayyab

Ini adalah kaedah tradisional yang digunakan sejak berkurun lamanya. Alat serbaguna ini direka oleh seorang ahli falak yang terkenal di Syria pada abad ke-14 iaitu Ibn Syatir.

Ia berbentuk sukuan yang diguna bagi mengukur ketinggian matahari atau objek di langir, arah kiblat, waktu solat, kedudukan (longitud dan latitud) sesuatu tempat serta menyelesaikan masalah hitungan dengan mudah.

Penggunaan kompas

Kompas adalah alat yang mudah diperoleh dan diguna untuk menentukan arah kiblat. Cara menggunakannya perlu betul kerana alat tersebut amat sensitif dengan tarikan magnetik seperti besi, arus elektrik, alat elektronik dan sebagainya.

Namun ia masih boleh digunakan sebagai langkah ijtihad terakhir dalam menentukan arah kiblat. Kegunaannya adalah untuk peribadi sahaja.

Arah kiblat dalam kapal terbang dan laut

Jika penumpang tidak dapat menghadap kiblat disebabkan keuzuran atau kesukaran, maka dia wajib tunaikan solat pada waktu itu. Maka bolehlah dia melakukannya sekalipun tanpa menghadap kiblat demi menghormati waktu. Namun, ia wajib mengulanginya solat itu apabila tiba di destinasi.

Arah kiblat dalam hutan

Jika tersesat dalam hutan pada waktu malam sedangkan kita tidak dapat mengesan arah kiblat, ketika dalam darurat itu bolehkah menghadap ke arah mana pun yang kita anggap betul.

Pada ketika itu, yang paling penting ialah kiblat hati iaitu Allah SWT.

02 Disember 2009

Anak bulan tentukan takwim

Sebahagian besar kita tidak ambil kisah dengan anak bulan sehinggalah tibanya masa untuk berpuasa Ramadan dan juga tarikh Hari Raya Aidilfitri. Malah, ramai yang hanya menunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia tentang tarikh tersebut melalui media massa.

Pendek kata, majoriti kita lebih suka bertaklid (mengikut) sahaja tanpa mengetahui dalil atau sebabnya.

Sebenarnya, asas penentuan awal bulan Islam adalah berpandu kepada al-Quran dan sunnah. Daripada asas tersebut, dapat dibuktikan bahawa peredaran bumi, bulan dan matahari berkait rapat dengan penentuan awal bulan Islam serta hubungkaitnya dengan ibadat seperti puasa dan haji.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Barang siapa di antara kamu yang melihat anak bulan pada bulan tersebut, maka hendaklah dia berpuasa. (al-Baqarah: 185) Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah (Aidilfitri) kamu apabila hilal tertutup ke atasmu, maka sempurnakanlah bilangan Syaaban 30.” (riwayat Syaikhan)

Hilal ialah fasa bulan yang menunjukkan sebahagian kecil daripada permukaan bulan yang bercahaya. Ia boleh dilihat selepas bulan melengkapkan satu pusingannya mengelilingi bumi.

Anak bulan (hilal) ditakrif sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam. Anak Bulan kelihatan seperti satu lengkok cahaya halus menyerupai bulan sabit. Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli berkata, mencerap hilal atau anak bulan itu sebenarnya dilakukan pada setiap 29 haribulan dalam kalendar Islam.Lewat 51 minit.


Penggunaan teleskop Made Lx200 memudahkan proses melihat anak bulan dan seterusnya menentukan takwim bulan Hijrah

Katanya, tiga tarikh penting yang wajib melihat anak bulan adalah pada 29 Syaaban (bagi tentukan Ramadan), 29 Ramadan (bagi tentukan Aidilfitri) dan 29 Zulkaedah (bagi menentukan 1 Zulhijjah). “Selepas kita dapat tarikh 1 Zulhijjah barulah boleh diisytiharkan bila tarikh Hari Raya Haji yang jatuh pada 10 Zulhijjah,” katanya dalam pertemuan dengan Mega di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Selepas ijtimak berlaku, kedudukan bulan akan berubah sedikit demi sedikit. Permukaan bulan yang bercahaya akan mula kelihatan dari bumi mengikut fasa-fasanya tersendiri. Perubahan ini mengakibatkan Bulan akan terbit lewat 51 minit daripada matahari. (Baharuddin Zainal, Ilmu Falak, m.s 56) Rizal berkata, kaedah penentuan awal bulan Islam yang digunapakai di Malaysia adalah melalui rukyah dan hisab. Katanya, negara menggunakan kaedah Imkanur-rukyah (kebolehnampakan) dalam menentukan bulan Ramadan dan Syawal sebagaimana ditetapkan pada 4 November 1991.

Menurut beliau, pada tahun 1995, kaedah ini diperluaskan terutama dalam menghasilkan takwim hijrah. “Anak bulan/hilal dikira boleh dilihat bila mana menepati syarat-syarat berikut iaitu pada tarikh 29 hijri ketika matahari terbenam; tinggi mesti lebih daripada 2 darjah dan jarak lengkok mesti melebihi 3 darjah. “Atau ketika bulan terbenam, umur hilal mesti melebihi lapan jam selepas ijtimak berlaku,” katanya.

Ijtimak adalah proses pemisah antara bulan lama dengan bulan baru. Ia berlaku apabila matahari, bulan dan bumi berada segarisan tetapi tidak sesatah. Ia berbeza dengan gerhana yang berada segarisan dan sesatah. Selepas berlaku ijtimak, bulan akan bergerak dan membentuk bulan baru yang dikenali ‘anak bulan.’

Setakat ini, Selangor mempunyai tiga kawasan yang diwartakan sebagai tempat melihat anak bulan iaitu Baitulhilal Bukit Malawati, Kuala Selangor, Baitulhilal Pulau Angsa, Kuala Selangor dan Baitulhilal Bukit Jugra, Kuala Langat.

Sebuah lagi Baitulhilal yang lengkap dengan semua peralatan sedang dalam pembinaan di Sungai Lang, Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor. Ia dijangka siap pada Februari 2010.

Mengenai perbezaan menyambut Aidiladha di Malaysia dengan di Mesir, Rizal berkata, antara sebabnya adalah melihat anak bulan tertakluk kepada matla’ yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan terbit bulan. Katanya, lagi Barat kedudukan sesuatu tempat itu seperti Mekah maka lebih tinggi potensi dapat melihat anak bulan. “Dari segi masa pun, kita lebih cepat lima jam dari Mekah. Kalau nak ikut Arab Saudi maknanya kita tidak boleh solat zuhur pukul 1 tengah hari sebab di Saudi belum masuk waktu zuhur lagi,” jelasnya.

Mengikut mantan Mufti Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut, dalil yang menolak penentuan Aidiladha disambut mengikut Arab Saudi (sehari selepas hari wukuf) adalah hadis Nabi SAW yang berikut. Daripada Ummu Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya.” (riwayat Muslim) Hadis ini menjelaskan penentuan Aidiladha itu khususnya bagi penduduk luar Arab Saudi dan negara yang tidak sama terbit matahari selepas Malaysia adalah berdasarkan kepada rukyah anak bulan Zulhijjah dan tidak ditentukan mengikut hari wukuf di Arafah.

Dalam sebuah hadis lagi, Nabi SAW bersabda: “Puasa itu (permulaannya) adalah pada hari kamu berpuasa (bulan Ramadan) dan Hari Raya Aidilfitri adalah hari di mana kamu berhari raya dan Hari Raya Korban adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”. (riwayat at-Tirmizi) Kata Nooh, merujuk kepada petikan sabda Nabi SAW yang bermaksud “Hari Raya Korban adalah hari di mana kamu menyembelih (berkorban)”, Baginda SAW menetapkan agar ibadat korban itu dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah). Hadis di atas menunjukkan tiada ada kaitan antara ibadat korban dengan penentuan ibadat haji yang dilaksanakan di Arab Saudi (sehari selepas wukuf). Ia adalah sunat muakkad bagi orang yang mengerjakan haji dan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, Menurut Rizal berkata, Bahagian Falak yang dianggotai oleh 10 petugas bukan sahaja terlibat mencerap hilal tetapi juga menentukan arah kiblat.Katanya, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang masing-masing dianggotai oleh tiga petugas akan memeriksa arah kiblat masjid dan surau-surau di Selangor. “Kita akan membuat pemeriksaan ke atas mana-mana masjid dan surau yang memohon untuk semakan arah kiblat dalam tempoh dua minggu selepas permohonan bertulis diterima.

“Bagaimanapun, kita sudah melancarkan permohonan secara online. Setakat 10 November, kita sudah menerima 205 permohonan di seluruh Selangor,” jelasnya.
Custom Search