18 Julai 2010

Mengapakah kita rasa sakit semasa menggigit kertas aluminium?

Menggigit kertas aluminium mungkin menjadi pengalaman menyakitkan atau apabila menggunakan logam semasa rawatan gigi.

Secara asasnya, semasa anda menggigit lapisan aluminium, anda menghidupkan bateri dalam mulut dan arus eletrik merangsang hujung saraf di dalam gigi. Tekanan daripada gigitan membawa dua bahan yang berlainan bersentuhan dengan kelembapan, persekitaran masin. Kedua-dia logam mempunyai keupayaan elektrokimia berlainan atau voltan di antara mereka.

Elektron akan bergerak dari lapisan logam kepada gigi dan arus elektrik akan dibawa ke akar gigi melalui filing atau crown. Arus berkenaan memadamkan impuls saraf ke dalam saraf akar sebelum impuls tadi dihantar ke otak dan mentafsirkannya sebagai sakit.

Penghasilan arus elektrik antara dua logam bersentuhan dinamakan kesan voltaic sempena nama Alessandro Volta yang menemuinya.

Bateri pada awalnya dibina dengan lapisan logam yang dinamakan lapisan voltaic.

08 Jun 2010

Apakah yang menyebabkan logam berkarat?

Biasanya jika logam dibiarkan dalam satu tempoh masa tertentu, ia akan berkarat. Karat biasanya berlaku kerana besi biasanya telah bergabung dengan oksigen dan biasanya logam tulen tidak ditemui dalam alam semulajadi.

Logam yang berkarat adalah contoh hakisan satu proses elektrokimia yang melibatkan anod (logam yang memberikan elektron), elektrolut (cecair yang membantu pergerakan elektron) dan katod (logam yang menerima elektron.


Apabila satu kepingan logam berkarat, elektrolit membantu membekalkan oksigen kepada anod. Apabila oksigen bergabung dengan logam, elektron akan dibebaskan dan semasa ia bergerak melalui elektrolit ke katod logam anod akan hilang dibawa oleh aliran elektrik atau diubah kepada kation dalam bentuk karat. Bagi logam untuk berkarat ia memerlukan tiga unsur iaitu logam, air dan oksigen.

Apabila titisan air mengenai lapisan logam, dua perkara akan berlaku. Pertama, air yang merupakan elektrolit baik bergabung dengan karbon dioksida di udara bagi membentuk asid karbonik lemah; satu bentuk elektrolit lebih baik.

Apabila asid terbentuk dan logam mencair, air berkenaan mula berpecah kepada komponen hidrogen dan oksigen. Oksigen bebas dan logam tadi bergabung kepada logam oksida semasa proses melepaskan elektron.

Bahan kimia yang ditemui dalam air hujan dan air laut merupakan elektrolit yang lebih baik berbanding air biasa dan mempercepatkan proses pengaratan logam.

30 Mei 2010

Memahami anugerah karamah

Akibat terlalu taksub, ada golongan yakin pemimpin mereka boleh memberi 'syafaat' selepas meninggal dunia.

Maka berlakulah amalan khurafat seperti memuja makam dengan membawa pisang emas, ayam panggang, pulut kuning kemudian diletakkan di atas tanah perkuburan.

Mereka menganggap keramat itu seseorang itu boleh memberikan apa yang mereka hajati seperti menyembuhkan penyakit dan meminta nombor ekor.

Apakah kubur yang dianggap keramat itu boleh menyampaikan apa yang mereka hajati?

Ingat, hanya Allah yang Maha Esa layak kita sembah dan meminta pertolongan.

"Dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya". (Surah al-Kahfi ayat 110).

Maka amalan pemujaan yang sering berlaku itu adalah satu jenayah besar yang membabitkan akidah.

Di dalam Islam memang kita perlu beriman serta mempercayai perkara ghaib. Namun mempercayai seseorang yang meninggal dunia mampu memberi pertolongan atau hidup kembali tidak boleh diterima akal.

Amalan khurafat adalah perbuatan yang menyalahi hukum syarak. Kepercayaan kuat yang mula bertapak dalam masyarakat kita itu tidak boleh terus dipegang atau menjadi amalan tradisi kerana ia boleh merosakkan akidah.

Tiada salahnya kita sering menziarahi kubur, malah ia sunat bagi umat Islam tetapi mengadakan pemujaan atas kubur di luar batasan syarak, itu menjadi kesalahan besar.

Seseorang itu boleh menjadi murtad tanpa mereka sedari. Aktiviti tidak bermoral berkenaan didorong oleh kelebihan seorang yang dianggap wali.

Wali biasanya dikaitkan dengan karamah. Apakah yang dikatakan karamah? Adakah seseorang wali itu memerlukan karamah?

Secara umumnya, kita mengetahui karamah itu adalah kejadian luar biasa yang berlaku kepada wali dan ia dapat dilihat dengan mata kasar.

Contohnya mereka boleh berjalan di atas air, berada di beberapa tempat dalam satu masa, terbang di udara dan bergerak dari setempat ke setempat dengan sekelip mata.

Allah berfirman yang bermaksud: "Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan terhadap mereka dan tiada pula mereka berdukacita. (Iaitu) Orang-orang yang beriman dan bertakwa". (Surah Yunus ayat 62 hingga 63).

Selepas nyawa terpisah daripada jasad, seorang itu tidak lagi dapat memberi manfaat kepada yang lain. Kubur itu sendiri tidak dapat memberi pertolongan.

Di negara ini, antara kubur yang sering menjadi tumpuan 'kaki ekor' adalah seperti kubur di Pulau Besar, Melaka dan kubur Tok Temong di Kuala Kangsar, Perak kerana ada yang menganggap kubur ia walikeramat.

Individu yang dipanggil wali adalah mereka yang beriman serta takut kepada Allah. Wali Allah yang paling tinggi tingkat kewaliannya adalah nabi.

Nabi sendiri adalah manusia biasa yang makan, minum, sakit, berkahwin dan mati. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Muhammad itu tidak lain, hanya seorang Rasul, sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang Rasul sebelumnya. Jika Rasul itu mati atau terbunuh, adakah kamu kembali menjadi kafir? Barang siapa kembali menjadi kafir, tidaklah dia mendatangkan bahaya kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberikan balasan bagi orang yang bersyukur". (Surah Ali-Imran ayat 144).

Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul yang paling tinggi tingkat kewaliannya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya pada Rasul Allah (Muhammad) ada ikutan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan (pahala) Allah dan hari kemudian, serta dia banyak mengingati Allah". (Surah al-Ahzab ayat 21).

Masyarakat kita sering beranggapan wali Allah biasanya memiliki kemampuan 'supernatural' (kemampuan yang tidak biasa dimiliki manusia).

Mereka (wali) adalah seorang yang mahfuz iaitu terpelihara daripada berbuat dosa besar tetapi tidak terlepas daripada melakukan dosa kecil.

Namun apabila melakukan dosa, dengan segera mereka menyesali perbuatan itu kemudian bertaubat nasuha atas kesalahan dirinya.

Mereka adalah orang yang selalu mengingati Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Beruntunglah orang-orang yang sendirian". Ditanyakan kepada Baginda, "Siapakah al-Mufarridun (orang-orang yang sendirian) itu Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah, "Mereka adalah orang-orang yang menyendiri dan menyibukkan diri dengan zikir kepada Allah".

Karamah adalah sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada wali-Nya sebagai satu keistimewaan. Mereka diberi penghormatan dengan pelbagai kelebihan dan kemuliaan yang tidak diberi kepada manusia biasa (orang awam).

Malah Allah jelaskan dalam satu hadis Qudsi bahawa mereka itu mendengar dengan pendengaran Allah, melihat dengan penglihatan Allah dan berkata-kata dengan perkataan Allah.

Justeru, tidak hairanlah ramai orang akan mengaitkan karamah apabila memperkatakan peribadi seorang wali.

Orang awam umumnya hanya mengenali karamah berbentuk zahiriah atau karamah hissi iaitu melalui kejadian luar biasa.

Ulama Sufi menjelaskan bahawa terdapat bermacam-macam peringkat wali yang dilantik Allah dengan syarat perlantikan yang hanya Allah saja yang mengetahuinya.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata amalan memuja kubur wali yang dianggap keramat adalah berpunca daripada sifat jahil mereka.

"Pengetahuan agama masih berbentuk fakta atau hafalan dan hanya mempelajari kepada teori.

"Jika kepercayaan masih berteraskan ikutan semata-mata tanpa melalui pengetahuan khusus sukar mempraktikkan cara hidup Islam sebenar," katanya.

Katanya, bukan perkara mustahil jika ada mengatakan golongan wali boleh melakukan perkara luar biasa.

"Perkara ini bukan mustahil kerana ia adalah kelebihan yang Allah kurniakan atas sifat soleh mereka. Tetapi tidak bermakna kelebihan itu menyebabkan mereka perlu dipuja.

"Jika dilihat dalam sejarah hidup (manaqib) sebahagian mereka yang soleh ini, kita boleh simpulkan bahawa kelebihan seperti berjalan atas air, pergi ke satu tempat dengan sekelip mata adalah kurniaan Allah bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab seperti berdakwah dan mempertahankan syariat," katanya.

Beliau berkata ada juga golongan wali mampu membaca hati manusia yang dikurniakan Allah kerana mereka daripada golongan yang sentiasa bersih hatinya.

"Ada satu riwayat menyatakan Nabi Muhammad pernah mengingatkan sahabat "takutilah firasah (mengenal hati budi manusia) orang beriman...." "Imam Syafie pernah menjelaskan perkara ini dan beliau menceritakan kelebihan yang dimiliki orang Yaman. Allah kurniakan kelebihan ini buat mereka yang soleh tetapi ia bukanlah untuk bermegah-megah," katanya.

Rahimi berkata manusia perlu mengelak sifat taksub terhadap seseorang sehingga mengagungkan mereka secara berlebihan.

"Kita kena sentiasa ingat bahawa syaitan akan berusaha merosakkan manusia daripada melakukan kebaikan.

"Setiap usaha menegakkan kebenaran perlu ada dua perkara, iaitu ilmu dan semangat.

"Jika kita berilmu tetapi tiada semangat, usaha pasti tidak bergerak ataupun jika ada semangat tetapi tiada ilmu maka kita akan mudah tersesat," katanya.

Beliau menerangkan Allah turut memberi kelebihan kepada orang sesat atau kufur namun ia adalah penghinaan buat mereka.

"Allah perintah kita mencari kebenaran dengan ilmu. Kebenaran pasti terbukti kerana orang yang berilmu tidak pernah melihat perkara ganjil untuk meneguhkan kebenaran yang cuba disampaikan," katanya.

06 April 2010

Anak berdengkur

Dengkuran kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara tiga hingga 12 peratus kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.

Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.

Namun dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur? Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.

Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.

Punca

Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:

# Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.

# Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.

# Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)


Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?

Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah ‘bangga’ kerana anak mereka ‘seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga’.

Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.


Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?

Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.

Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.

Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.

Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas

Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.

Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala ‘runtuh’ sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa ‘berjuang’ untuk bernafas kerana udara tidak masuk.

Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.

Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?

Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.

Risiko apnea tidur

Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.

Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.

Kesan berdengkur

Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.

Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.

Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.

Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.

Apnea tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.

Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.

Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.

Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).

Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.

Rawatan

Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.

Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90 peratus kes berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.

Jika pembedahan tidak berjaya (10 peratus terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras).

05 Mac 2010

Hayati maksud ayat al-Fatihah

Doa terkadang tidak serupa minta, minta lain tapi buat lain, malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta dan sebut "amiin".
Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, "amin" tidak tahu dan faham apa yang imam berkenaan baca.

Doa sebenarnya permintaan, ia perlu difahami kemudian baru ia dapat masuk ke dalam hati.

Kalau main minta atau main angkat tangan saja tetapi tidak memahami apa-apa isi kandungan doa berkenaan ia dianggap sebagai bermain-main ketika berdoa.

Sudah berpuluh tahun kita meminta perkara sama tetapi masih tidak dapat-dapat. Sebenarnya, bukan Allah tidak perkenankan tetapi kita sendiri hanya pandai meminta tetapi tidak pandai mencari.

Minta tetapi tidak mencari sama halnya dengan berangan-angan. Antara yang wajib kita minta setiap hari adalah ayat "ihdinassiratal mustaqim" yang dibaca 17 kali setiap hari.

Maksudnya adalah tunjuklah kami jalan yang lurus. Kita wajib membacanya setiap kali sembahyang. Besarnya makna doa ini adalah ia tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah terlebih dahulu.

Bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia itu adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Doa ini tidak didahulukan ia, melainkan setelah kita berikrar mengaku sebenar-benarnya bahawa hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Setiap hari minta "jalan yang lurus" tahukah kita apa jalan yang lurus itu? Kalau tidak tahu kena belajar dan membaca. Jalan yang lurus itu sangat penting.

Setengah remaja hanya tahu jalan betul saja, jumpa jalan betul terus merempit. Orang Palestin mati di jalan Allah tetapi kita mati di jalan betul.

Kalau kita perhatikan sebaik saja meminta jalan yang lurus, "ihdinassiratal mustaqim" Allah mentafsirkan jalan lurus itu adalah Allah sudah berikan nikmat-Nya kepada orang yang terdahulu. Siapakah orang-orang ini?

Mereka adalah Rasul, Nabi, sahabat dan Aulia' . Apakah itu nikmat? Itulah nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus.

Rasul, Nabi, sahabat dan Aulia melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah.

Jalan yang lurus inilah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah ini, minta dijauhkan kita daripada dua jalan yang tidak sampai kepada Allah.

Itulah dia jalan orang yang Allah dimurkai dan jalan orang yang sesat yang tidak mempercayai Allah seperti Namrud dan Firaun.

Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang mendapat laknat Allah. Jalan orang yang sesat pula adalah Yahudi dan Nasrani (kristian).

Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui itu adalah bertentangan dengan kehendak Tuhan. Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan.

Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah mereka yang mengikuti jalan yang lurus. Jalan ini ditempuh oleh Nabi, Rasul, Sahabat, Tabiin dan juga wali Allah sebelum ini.

Maka, kita mengharapkan belas kasihan agar Allah tunjukkan kita jalan supaya kita boleh sampai kepada Allah. Dinyatakan tadi jalan itu adalah Iman, Islam dan Ihsan.

Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Allah berikan jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat jalan yang lurus.

Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi. Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh ketika berkomunikasi dengan Allah.

Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah ia selari seiring dan sejalan. Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah.

04 Februari 2010

Pelihara kesihatan jantung anda, elak perasaan marah

Apakah reaksi anda jika pemandu di depan mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau?

Apa pula perasaan anda apabila selepas lama beratur, tiba-tiba seseorang memintas barisan dan berdiri betul-betul di depan anda? Adakah anda menjadi marah atau boleh mengawal perasaan?

Kemarahan ialah satu ekspresi perasaan yang ekstrem mengenai sesuatu yang anda tidak suka. Mempunyai perasaan marah bukan perkara buruk kerana ia menunjukkan kita manusia normal.

Malah, ada pakar berpendapat kemarahan pada peringkat rendah atau sederhana tidak menjadi masalah kerana dalam keadaan tertentu ia boleh memberi kesan positif kepada kita.

Contohnya apabila kita dapat memberitahu seseorang bahawa kita marah kepadanya secara tidak langsung boleh menenangkan fikiran kita.

Bagaimanapun, perasaan sangat marah boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang. Baik pada lelaki atau wanita, kemarahan boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding kesan terhadap hubungan sesama insan.

Kemarahan sebenarnya boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular, iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh dunia.

Kemarahan ada kaitan rapat dengan penyakit jantung koronari. Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 peratus jika seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 peratus jika pernah mengalami penyakit jantung.

Kemarahan itu sendiri bukan faktor tunggal kepada risiko sakit jantung. Ada pakar berpendapat, perasaan negatif yang lahir akibat kemarahan itu juga memberi sumbangan yang menyebabkan seseorang berasa resah dan tertekan.

Dua perasaan ini biasanya datang bersama kemarahan yang mungkin berlanjutan kepada emosi negatif lain.

Bagaimanakah kemarahan boleh menyebabkan penyakit jantung koronari?

Saintis mengatakan, kemarahan mungkin ada kesan langsung ke atas jantung dan salur darah (arteri). Emosi negatif seperti marah cepat meningkatkan tindak balas badan apabila menerima tekanan. Jika rangsangan sentiasa diberi, kesan ke atas jantung dan salur darah berlarutan.

Apabila dalam keadaan tertekan, badan menghasilkan hormon tekanan. Dalam keadaan biasa, hormon ini diperlukan untuk menolong kita dalam jangka masa pendek jika menghadapi krisis. Bagaimanapun, jika kita kerap marah, paras hormon tekanan ini meningkat.

Hormon tekanan yang berlebihan mempercepatkan proses aterosklerosis iaitu pengumpulan plak lemak pada dinding salur darah yang akhirnya membuatkan salur darah tersumbat; yang seterusnya boleh mengakibatkan penyakit jantung koronari dan serangan jantung.

Selain kesan biologi, kesan ke atas gaya hidup juga penting. Mereka yang mudah marah mungkin tidak dapat menjaga diri dengan baik.

Mereka lebih berkemungkinan untuk merokok, mempunyai pemakanan tidak baik dan seimbang, jarang melakukan senaman dan meminum alkohol berlebihan.

Semua ini juga faktor yang boleh membuat seseorang itu lebih berisiko mendapat penyakit jantung koronari.

Cara mengatasi kemarahan

Ada banyak cara mudah untuk mengatasi kemarahan. Antaranya ialah dengan:

# Menarik nafas panjang dan kira dari satu hingga 10

# Membayangkan tempat aman untuk menenangkan minda

# Beredar dari situasi atau persekitaran yang membuatkan anda marah (secara fizikal dan emosi)

# Mendengar muzik

# Mengisi masa dengan hobi

# Jangan meletakkan harapan dalam setiap situasi

# Meditasi

# Meningkatkan tahap spiritual melalui sembahyang, doa dan zikir

Paling penting, anda harus menerima hakikat bahawa kehidupan ini tidak selalunya adil atau sempurna, dan anda harus mengambil tindakan wajar di dalam setiap keadaan. Ingat, setiap kali anda melakukan tindakan positif, anda sebenarnya menjaga jantung anda.

03 Januari 2010

Gangguan aliran darah penyakit kencing manis

Tahukah anda bahawa 50 peratus daripada 10,000 kes amputasi (pemotongan) kaki yang dilakukan ke atas pesakit kencing manis setiap tahun boleh dielak?

Penyakit vaskular pinggiran adalah penyakit yang membabitkan gangguan aliran darah di kaki. Seperti penyakit kardiovaskular yang lain, ia disebabkan proses arteriosklerosis, iaitu kejadian plak ateroma yang terdiri daripada kolesterol dan sel-sel radang di dinding salur darah. Lama kelamaan plak berkenaan membesar dan menyebabkan penyempitan salur darah.

Penyempitan ini boleh berlaku di salur darah koronari. Jika ia bertambah teruk, otot jantung tidak akan mendapat darah dan oksigen yang cukup. Ini boleh mengakibatkan berlakunya angina (sakit di dada) atau serangan jantung. Jika penyumbatan salur darah berlaku di otak, strok atau angin ahmar akan terjadi.

Apa gejala dan tanda penyakit vaskular pinggiran?

Apabila pengaliran darah ke kaki berkurangan, otot kaki tidak akan mendapat oksigen dan nutrien secukupnya. Keadaan sedemikian dipanggil iskemia dan boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian kaki.

Iskemia selalunya dialami semasa berjalan dan hilang selepas berehat beberapa minit. Gejala begini dikenali klaudikasi. Jika proses iskemia ini menjadi teruk, jarak seseorang itu berjalan sebelum sakit di kaki bermula akan menjadi lebih pendek.

Malah, jika penyakit vaskular pinggiran itu menjadi lebih parah, pesakit akan mengalami gejala seperti kebas, sejuk atau sakit berpanjangan ketika berehat. Jika ada luka atau ulser pada kaki, ia tidak sembuh atau mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Ketandusan darah ini menyebabkan tisu ibu jari kaki dan keseluruhan kaki rosak; dan keadaan ini dipanggil ganggren. Jika dibiarkan berterusan pesakit berisiko tinggi mendapat jangkitan kuman yang serius sehingga boleh membawa maut.

Pada tahap ini, doktor tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyarankan supaya kaki pesakit terbabit dipotong.

Bolehkah keadaan ini boleh dielak? Apakah rawatan yang ada?

Faktor risiko untuk mendapat penyakit arteri pinggiran ialah menghidap kencing manis, mempunyai masalah tekanan darah tinggi, kolesterol berlebihan dan merokok. Kewujudan faktor ini perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan kesihatan berkala dan sekiranya ada, langkah-langkah wajar harus diambil untuk menanganinya.

Paras glukosa darah perlu dikawal dengan rapi untuk mengelak komplikasi diabetes. Jika merokok haruslah berhenti segera, amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta kerap bersenam untuk mengawal hipertensi, kolesterol berlebihan dan diabetes.

Rawatan khusus

Rawatan yang khusus kepada penyakit vaskular pinggiran terbahagi kepada tiga iaitu:

# Ubat

# Pembedahan graf pintasan arteri

# Angioplasti


Ubat-ubatan

Ia bertindak untuk:

# Mencairkan darah (contohnya aspirin dan clopidogrel)

# Mengawal paras kolesterol

# Ubat khusus untuk penyakit yang berkaitan (contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi)

# Ubat tahan sakit, jika ada

Pembedahan graf pintasan arteri

Pembedahan membabitkan penyambungan antara dua tempat pada arteri yang bermasalah dengan memintas bahagian yang tersumbat menggunakan graf sintetik atau graf semula jadi seperti vena (salur darah) kaki.

Ini kaedah terbaik untuk arteri yang tersumbat sepenuhnya (100 peratus), terutama jika bahagian yang bermasalah itu panjang. Jika banyak bahagian pada arteri itu tersumbat atau arteri femoral (iaitu arteri di bahagian peha) yang terbabit, maka pembedahan adalah kaedah yang terbaik.

Angioplasti

Seperti angioplasti koronari, penyempitan salur darah di kaki boleh dirawati dengan menggunakan kaedah angioplasti belon. Ruang dalam pembuluh darah yang sempit itu boleh dibuka luas dengan meletakkan belon dan meniupkannya selama beberapa saat.

Jika perlu, satu gegelung besi yang dipanggil stent boleh dimasukkan ke dalam pembuluh darah berkenaan untuk memberi hasil angioplasti yang lebih baik.

Angioplasti didapati setanding atau lebih baik berbanding dengan pembedahan jika penyumbatan itu terjadi di arteri iliak, iaitu pembuluh darah yang menyambungkan aorta dan arteri femoral di peha.

Ia juga adalah kaedah yang berkesan sekiranya pesakit itu mempunyai masalah perubatan yang lain seperti penyakit jantung koronari atau strok yang meletakkan pesakit dalam kategori berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan.

Ini juga kaedah yang berkesan untuk membantu menyelamatkan kaki daripada dipotong bagi kes iskemia anggota kritikal.

Apakah langkah seterusnya?

Amalkan gaya hidup sihat dengan sering bersenam, menjaga berat badan, tidak merokok dan mengamal pemakanan sihat dan seimbang,

# Jika terdapat gejala atau tanda penyakit vaskular pinggiran seperti di atas, segera berjumpa doktor.

# Jika anda menghidap kencing manis, ambil langkah sesuai untuk menjaga kaki anda dengan baik. Pastikan kaki dan jari kaki anda sentiasa bersih dan kering. Jika ada luka, walaupun kecil, segera dapatkan nasihat doktor.

# Walaupun diri berasa sihat, masih wajar untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ini kerana penyakit yang dikesan pada peringkat awal selalunya mempunyai peluang untuk baik dengan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya boleh dikawal dengan baik.
Custom Search